Biografi Ebiet G. Ade

Kehidupan awal

Lahir sebagai Abid Ghoffar bin Aboe Dja'far di Wanadadi, Banjarnegara [lower-alpha 1], merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik kelahiran Aboe Dja'far, seorang pegawai negeri, dan Saodah, seorang peniaga kain. Pada awalnya beliau memendam pelbagai cita-cita, seperti jurutera, doktor, pelukis dsb., tetapi akhirnya Ebiet menjadi penyanyi, namun beliau lebih suka bergelar penyair kerana latar belakangnya di persada seni yang berakar umbi di seni syair.[1]

Setelah lulus sekolah rendah, Ebiet menyertai PGAN (Pendidikan Guru Agama Negeri) di Banjarnegara. Sayangnya beliau gagal menyesuaikan diri, sehingga berpindah ke Yogyakarta untuk bersekolah di SMP Muhammadiyah 3 dan seterusnya SMA Muhammadiyah I. Di sana, beliau bergiat dalam persatuan Pelajar Islam Indonesia.

Nama Ebiet diberi oleh guru bahasa Inggeris yang berbangsa asing di sekolah menengah atas, mungkin kerana mereka tersilap sebut A dalam namanya menjadi E. Lama-kelamaan, kawan-kawannya turut memanggilnya Ebiet. Nama ayahnya digunakan sebagai nama belakang, disingkatkan menjadi AD, kemudian menjadi Ade, maka terbentuknya nama "Ebiet G. Ade."[2][3]

Ebiet amat akrab dengan para seniman muda Yogyakarta pada tahun 1971. Nampaknya, lingkungan inilah yang memberi galakan kepada Ebiet berseni. Motivasi terbesar yang membangkitkan kreativiti penciptaan karya-karyanya adalah ketika bersahabat dengan Emha Ainun Nadjib (penyair), Eko Tunas (penulis cerpen), dan E.H. Kartanegara (penulis). Malioboro seolah-olah menjadi tempat tinggal untuk Ebiet mengembangkan bakat syairnya, kerana pada masa itu ramai seniman yang berkumpul di sana.

Biarpun boleh berpuisi, beliau mengaku keberatan apabila diminta sekadar mendeklamasikan puisi. Dari ketidakmampuannya membaca puisi secara langsung itu, Ebiet mencari jalan agar tetap boleh membacakan puisi dengan cara yang lain, tanpa harus berdeklamasi, iaitu dengan beriringan muzik. Pemuzikan puisi dalam bidang kepenyairan banyak dilakukannya pada puisi-puisi Sapardi Djoko Damono. Beberapa puisi Emha dinyanykan oleh Ebiet dengan petikan gitarnya. Walaupun begitu, ketika masuk bilik rakaman, tiada serangkap pun syair Emha yang turut dinyanyikannya, kerana beliau digesa oleh kawan-kawannya yang mahu beliau membuat lagu dari puisinya sendiri. Dorongan semangat dari kawan-kawannya menggalakkan Ebiet agar melagukan puisi-puisinya.

Kerjaya

Ebiet pertama kali belajar gitar dari abangnya, Ahmad Mukhodam, lalu belajar gitar di Yogyakarta dengan Kusbini. Pada awalnya, beliau hanya menyanyi di persembahan seni di Senisono, Patangpuluhan, Wirobrajan, Yogyakarta dan juga di Jawa Tengah, memuzikkan puisi-puisi karya Emily Dickinson, Nobody, dan mendapat sambutan positif dari para penonton. Walaupun begitu, beliau masih menganggap kegiataannya ini sekadar hobi. Namun, atas dorongan para sahabat karibnya dari PSK (Persada Studi Klub yang didirikan oleh Umbu Landu Paranggi) dan juga rakan searamanya, akhirnya Ebiet bersedia juga untuk maju ke persada muzik Nusantara. Setelah berkali-kali ditolak oleh berbagai-bagai syarikat rakaman, akhirnya beliau diterima oleh Jackson Record pada tahun 1979.[4]

Ebiet menjalani sesi rakaman demi rakaman di Jackson Record dengan jayanya, di samping juga menjalankan rakaman di Filipina untuk mencapai hasil yang lebih baik, yakni album Camellia III. Tetapi, beliau menolak pelawaan untuk merakam lagu-lagunya dalam bahasa Jepun, meskipun mendapat peluang untuk membuat persembahan awam di sana.

Pernah juga beliau menjalankan rakaman di Capitol Records, Amerika Syarikat, untuk album kelapannya iaitu Zaman yang dibantu oleh Addie M.S. dan Dodo Zakaria sebagai rakan yang membantu muziknya.

Lagu-lagunya menjadi trend baru dalam persada muzik pop Indonesia. Tidak menghairankan, Ebiet dapat menerajui dunia muzik pop Indonesia sekitar tahun 1979-1983. Selama tujuh tahun, Ebiet mengerjakan rakaman di Jackson Record. Pada tahun 1986, Jackson Record gulung tikar, tetapi Ebiet mendirikan syarikat rakamannya sendiri iaitu EGA Records, yang menerbitkan 3 album, Menjaring Matahari, Sketsa Rembulan Emas, dan Seraut Wajah.

Sayangnya, pada tahun 1990, Ebiet yang "gelisah" dengan keadaan sosiopolitik Indonesia, akhirnya hendak "bertapa" dari hingar-bingar industri muzik dan sekadar berdiri di pinggiran. Akhirnya pada tahun 1995, beliau kembali untuk mengeluarkan album Kupu-Kupu Kertas (dibantu oleh Ian Antono, Billy J. Budiardjo, Purwacaraka, dan Erwin Gutawa) dan Cinta Sebening Embun (dibantu oleh Adi Adrian dari KLa Project). Pada tahun 1996, beliau mengeluarkan album Aku Ingin Pulang (dibantu oleh Purwacaraka dan Embong Rahardjo). Dua tahun berikutnya Ebiet mengeluarkan album Gamelan yang memuat 5 lagu lama yang disusun semula dengan muzik gamelan oleh Rizal Mantovani. Pada tahun 2000, Ebiet mengeluarkan album Balada Sinetron Cinta dan tahun 2001 pula beliau mengeluarkan album Bahasa Langit, yang dibantu oleh Andi Rianto, Erwin Gutawa dan Tohpati. Selepas album itu, Ebiet menyepi lagi selama lima tahun yang seterusnya.

Ebiet adalah salah satu penyanyi yang mendukung album Kita Untuk Mereka, sebuah album yang dikeluarkan berkaitan dengan peristiwa tsunami 2004, bersama dengan 57 pemuzik lain. Beliau memang seorang penyanyi yang masak dengan kejadian tragedi, terbukti oleh lagu-lagunya sering bertemakan bencana.

Pada tahun 2007, Ebiet mengeluarkan album baru berjudul In Love: 25th Anniversary (disokong oleh Anto Hoed), setelah 5 tahun absen rakaman. Album itu sendiri adalah peringatan buat ulang tahun pernikahan ke-25-nya, bersama pula 13 lagu lain yang masih dalam aransemen lama. [5]

Kemunculan kembali Ebiet pada 28 September 2008 dalam acara Zona 80 di Metro TV cukup mengubati kerinduan para peminatnya. Dengan dihadiri sahabat handainya termasuk Eko Tunas, Ebiet G. Ade membawakan lagu-lama lama yang pernah popular pada 1980-an.